Majlis Daerah Pemangkin Pembangunan Infrastruktur, Ekonomi

JUMAAT, 23 JULAI 2021

TANJUNG MANIS: Majlis Daerah berperanan sebagai pemangkin kepada aspek pembangunan bukan sahaja infrastruktur malah pembangunan ekonomi.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata, contohnya, Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD) mampu menjalankan amanah dan melaksanakan pelbagai pembangunan inftrastruktur.

Dari aspek peningkatan ekonomi, MDMD ujarnya, telah bertanggungjawab menyediakan pasar untuk penduduk menjalankan perniagaan.

Beliau berkata demikian sebelum Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis bagi MDMD di Dewan IKS PUSAKA Tanjung Manis bermula pada Jumaat.

Pada majlis itu, seramai 32 ahli majlis MDMD mengangkat sumpah pelantikan semula yang disaksikan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg secara maya.

Dalam pada itu, Datu Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang menyifatkan tanggungjawab ahli majlis dan juga warga kerja MDMD bukan mudah dalam mengurus tiga daerah dalam pentadbiran majlis tersebut.

Ujarnya, ia memerlukan perancangan, komitmen dan sumber kewangan yang stabil bagi mencapai pembangunan yang seimbang untuk ketiga-tiga daerah iaitu Daerah Tanjung Manis, Matu dan Daro.

Beliau juga berharap ahli majlis menjadikan kepercayaan atas lantikan sebagai amanah yang perlu digalas dalam melestarikan agenda pembangunan insfrastruktur dan ekonomi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Shafiee Ahmad.- EDISI UKAS

Share
0

add comment