Miri Catat 134 Kes Positif COVID-19, ACD Sedang Giat Dilaksanakan Cari Kontak Rapat

JUMAAT, 23 JULAI 2021

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri memaklumkan 134 kes positif COVID-19 telah dicatatkan pada Khamis. 

Menurut kenyataan media JPBB Miri, 134 kes positif COVID-19 yang melibatkan 126 kes dari Daerah Miri, 4 kes dari Daerah Telang Usan, 2 kes dari Daerah Subis dan 2 kes dari Daerah Beluru. 

“Daripada 126 kes yang dilaporkan di Daerah Miri, 120 kes atau 95.24 peratus adalah kes dari Kluster Tembok Miri yang dikesan hasil saringan sampel ulangan bagi semua penghuni di Penjara Pusat Miri yang telah dikuarantin.

“Penjara Pusat Miri telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 9 Julai 2021,” kata kenyataan itu. 

Setakat 22 Julai 2021, sejumlah 1,005 individu telah disaring melibatkan penghuni banduan penjara dan kakitangan penjara serta ahli keluarga dan kontak sosial kakitangan penjara. 

Semua individu tersebut telah diberikan perintah kuarantin dan dipasangkan gelang pemantauan. 

Tambah kenyataan itu lagi, daripada jumlah 1,005 orang, 360 telah dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks, 365 dikesan negatif, dan 280 masih menunggu keputusan ujian saringan. 

“Daripada jumlah 360 kes positif COVID-19 yang dikesan setakat ini, 343 merupakan penghuni banduan (95.28 peratus), manakala 7 merupakan kakitangan penjara (1.94 peratus) dan 10 adalah ahli keluarga kakitangan penjara (2.78 peratus). 

“Kesemua kes positif COVID-19 yang melibatkan penghuni banduan telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) yang ditubuhkan dalam Penjara Pusat Miri manakala kes positif COVID-19 yang melibatkan kakitangan penjara dan ahli keluarga kakitangan penjara telah dimasukkan ke Hospital Miri dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Miri untuk tujuan rawatan lanjut, pengasingan dan pemantauan,” tambahnya. 

Kes-kes lain yang dilaporkan di Daerah Miri termasuk tiga kes saringan sebelum sign-on, satu kes saringan sebelum rentas daerah, satu kes saringan bergejala dan satu kes kontak rapat. 

Kes yang dilaporkan di Daerah Telang Usan adalah dari Kluster Lunyim melibatkan 4 kontak rapat yang telah dikuarantin di pusat kuarantin. 

Sementara, kes yang dilaporkan di Daerah Subis merupakan kes-kes kontak rapat yang telah diberikan perintah kuarantin dan dipasangkan gelang pemantauan manakala kes-kes yang dilaporkan di Daerah Beluru melibatkan 1 kes kontak rapat dari rumah panjang yang telah diletakkan di bawah PKPD, dan 1 kes saringan bergejala. 

Kesemua kes positif COVID-19 tersebut telah dimasukkan ke Hospital Miri dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Miri untuk tujuan rawatan lanjut, pengasingan dan pemantauan. 

Pada masa sama, aktiviti pengesanan kes aktif sedang dijalankan untuk kontak rapat mereka. -EDISI UKAS

Share
0

add comment