Pembangunan Pelbagai Infrastruktur Pacu Kemajuan Sarawak

JUMAAT, 23 JULAI 2021

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing menyokong pendekatan kerajaan neegeri memperuntukkan dana sebanyak RM63 bilion untuk pembangunan pelbagai infrastruktur bagi tahun 2020-2025 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menurutnya, kemiskinan di negara ini tidak dapat dibendung kecuali sehingga Sarawak mengembangkan infrastrukturnya dan membuat akses ke semua wilayah.

“Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 22 Julai lepas di Majlis Pelancaran Strategi Pembangunan Post COVID-19 menunjukkan bahawa dalam lima tahun ke depan, Sarawak akan bersedia untuk maju dengan siapnya pelbagai pembangunan infrastruktur seperti projek jambatan-jambatan di jalan pesisir pantai dan jalan utama kedua termasuk lebuh raya Pan Borneo,” jelasnya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Tan Sri James Masing menambah, China adalah contoh klasik negara dalam membasmi kemiskinan termasuk kemiskinan di luar bandar.

“Mereka menghabiskan berbilion-bilion untuk membina infrastruktur di seluruh China dan sekarang China adalah negara terkaya kedua di dunia dari menjadi negara yang dilanda kemiskinan pada tahun 1950-an,” tambahnya.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri juga melakukan cara yang betul untuk membasmi kemiskinan di Sarawak dan rakyat ini perlu memahami bahawa proses pembangunan adalah secara berperingkat. –EDISI UKAS