Program Vaksinasi DUN Tupong Bergerak Lancar, Pastikan Seluruh Lokaliti Divaksinasi Secepatnya

JUMAAT, 22 JULAI 2021

KUCHING : Program pemberian suntikan vaksin COVID-19 jenis Sinovac di lokaliti Paroh disenaraikan seramai 960 yang telah mendapat dos pertama pada dua minggu yang lepas. 

Ia terdiri daripada penduduk Kampung Paroh, Kampung Sejijak, Taman Allamanda, Taman Malihah dan Batu 7 Sungai Tengah yang berumur di antara 18 tahun hingga 60 tahun keatas.

Manakala, bagi dos kedua pula disenaraikan seramai 947 yang telah lengkap menerima vaksin secara amnya.

Program suntikan telah dilakukan sendiri oleh 44 orang pegawai dari Klinik Kesihatan Petra Jaya (KKPJ) bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Paroh seawal jam 8.00 pagi.

Pada Khamis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzruddin Abdul Rahman bersama dengan Ahli Dewan Negara, Senator Dr Zaiedi Suhaili hadir sendiri meninjau proses pemberian vaksin sekaligus menyantuni penduduk di dewan berkenaan.

Kedua-duanya dilihat lebih menitikberatkan kelancaran program dan pengamalan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi sepenuhnya.

Mereka juga dimaklumkan, pada hari tersebut, terdapat seramai 13 orang yang gagal menghadiri temujanji pengambilan vaksin dos kedua.

Untuk itu, pihak Klinik Kesihatan Petrajaya Kuching (KKPJ) diminta untuk memastikan tarikh temujanji yang baru akan ditetapkan dengan segera kepada mereka.

Turut membantu dalam usaha menjayakan Program Vaksin DUN Tupong adalah para Exco Cawangan dan Ahli Jawatankuasa Ranting PBB Tupong.-EDISI UKAS

Share
0

add comment