Seramai 758 Ahli Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Semula Sehingga 30 Jun 2022

JUMAAT, 23 JULAI 2021

KUCHING: Seramai 758 orang Ahli Majlis di seluruh negeri menerima watikah pelantikan semula yang berkuatkuasa dari 1 Julai 2021 hingga 30 Jun 2022.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Semula Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan menerusi aplikasi Zoom di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Jumaat.

Kali ini Sarawak mencatat sejarah apabila mengadakan majlis angkat sumpah secara atas talian susulan dengan kekangan pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan penting dalam memberikan perkhidmatan kepada komuniti dan juga sebagai agensi barisan hadapan kerajaan negeri dalam memerangi penularan pandemik COVID-19.

“PBT harus mengetahui apa yang sedang berlaku terutamanya dasar-dasar kerajaan bagi membantu meningkatkan taraf hidup sekaligus menyediakan banyak kemudahan yang diperlukan oleh masyarakat,” katanya.

Semantara itu,Datuk Patinggi Abang Zohari menyatakan beliau berbangga dengan komitmen ahli majlis yang mencurahkan bakti dan khidmat serta berganding bahu dalam memastikan kesejahteraan negeri ini.

“Saya meminta supaya PBT mewujudkan dasar untuk membantu masyarakat termasuk para peniaga kecil dan juga mewujudkan satu pendekatan bagi memulihkan keadaan ekonomi di peringkat kerajaan tempatan,” tambahnya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datu Dr Penguang Manggil dan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datu Antonio Kahti Galis. –EDISI UKAS

Share
0

add comment