ADUN Murum Sertai Program Vaksinasi Bergerak Di Uma Penan Long Menapa Dan Uma Penan Long Luar

SABTU, 24 JULAI 2021

MURUM: Seramai 306 individu di Uma Penan Long Menapa dan Uma Penan Long Luar telah divaksinasi dos pertama dalam Program Vaksinasi Bergerak anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bahagian Kapit dan Daerah Belaga, pada Khamis.

Pasukan vaksinasi bergerak terdiri daripada 13 orang kakitangan KKM yang menggunakan enam buah kenderaan pacuan empat roda bertolak ke kawasan Metalun melalui jalan pembalakan dan ladang kelapa sawit yang mengambil masa lebih dua jam perjalanan.

Difahamkan, kawasan Metalun adalah penempatan semula bagi empat buah rumah panjang suku kaum Penan yang dipindahkan akibat pembinaan Empangan Murum.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon yang turut sama dalam misi itu merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus melancarkan pelaksanaan program.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas penglibatan penduduk dalam pengambilan vaksin Covid-19 dan menasihati penduduk untuk terus patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan walaupun sudah divaksinasi.

Sementara itu, Residen Bahagian Kapit Nyurak Keti yang turut hadir berkata, sambutan dari penduduk sangat memuaskan dan program diteruskan di Long Tangau dan Long Sigu pada Jumaat.

Sehubungan itu, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum  masyarakat Penan merakamkan ucapan terima kasih khasnya kepada ADUN Murum dan Kerajaan Negeri Sarawak serta kepada semua yang terlibat secara langsung dengan program tersebut. – EDISI UKAS

Share
0

add comment