Datu Ik Pahon Lawat Bilik Operasi PKPD Di Tiga Kampung Di Lundu

SABTU, 24 JULAI 2021

LUNDU: Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Ik Pahon Joyik mengadakan lawatan kerja ke Bilik Operasi Kampung Kendaie, Kampung Bukit Batu serta Kampung Pasir Hilir, Lundu pada Sabtu.

Lawatan kerja itu adalah bersempena dengan program pemvaksinan penduduk tiga kampung berkenaan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Semasa lawatan tersebut, ketiga-tiga penduduk kampung tersebut khususnya penduduk yang negatif keputusan ujian saringan COVID-19 telah mendapatkan suntikan vaksin.

Sementara itu, Datu Ik Pahon berkata, usaha Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak khususnya Pejabat Kesihatan Daerah Lundu untuk memberikan vaksin bagi penduduk di kawasan yang dikenakan PKPD adalah wajar dipuji.

Katanya, ia adalah bagi mengurangkan beban bagi penduduk kampung agar mereka tidak perlu pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam sebaik tamat dikuarantin.

Datu Ik Pahon juga telah diberi taklimat oleh Guru Besar SK Kendaie, Cikgu Andrew Aris berkenaan dengan jumlah kes positif COVID19 di kalangan pelajar SK Kendaie.

Secara kumulatifnya seramai 31 pelajar SK Kendaie positif COVID-19 dan pelajar-pelajar ini adalah berusia 5 hingga 12 tahun.

Dalam pada itu, Datu Ik Pahon menyuarakan kebimbangan kepada pendedahan serta kadar jangkitan di kalangan kanak-kanak khususnya kanak-kanak yang berada dalam julat umur belum layak divaksin.

Beliau juga berharap kerajaan Sarawak mempunyai perancangan dalam masa terdekat untuk memvaksinkan remaja dalam lingkungan 12 hingga 17 tahun bagi meningkatkan benteng imunisasi bagi keseluruhan komuniti. -EDISI UKAS

Share
0

add comment