SABTU, 24 JULAI 2021
SIBU: Program Ziarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sekali lagi singgah di DUN Bukit Assek dalam usaha membantu mereka yang memerlukan di situ.
Seramai 50 penerima terdiri dari golongan yang berpendapatan rendah, ibu tunggal dan mereka yang terjejas pandemik COVID-19 menerima bantuan berupa makanan dan pelitup muka yang disampaikan oleh pegawai UKAS di lapangan pada Sabtu.
Simbolik penyerahan kepada lima orang penerima memandangkan kehadiran adalah terhad dan mesti mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Menurut Ketua Kaum Kampung Usahajaya Baru, Mohd Ali Serani, pihaknya amat berterima kasih kepada UKAS kerana telah memilih penduduk dari kampung tersebut untuk bulan Julai.
Beliau juga berharap dengan adanya bantuan seperti itu dapat meringankan beban penerima dan semoga program tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang.
Selain itu, program seperti itu katanya akan memberi imej positif kepada Kerajaan Negeri Sarawak kerana ia menunjukkan keprihatinan mereka terhadap rakyat Sarawak tanpa mengira kaum dan agama.
Semasa agihan, pihak UKAS turut mengambil kesempatan menyeru penduduk agar mendapatkan suntikan vaksin dan didapati majoriti penduduk di situ telah mendapatkan suntikan vaksin mereka. – EDISI UKAS