Jelajah Program Ziarah UKAS Diteruskan Di Meradong

SABTU, 24 JULAI 2021

BINTANGOR: Program Ziarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) kini menjelajah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong bagi menyantuni golongan memerlukan di situ.

Untuk program kali, seramai 50 lagi golongan warga emas, asnaf serta orang kelainan upaya (OKU) menerima sumbangan pek makanan dengan simbolik agihan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing bertempat di Sungai Bakong, Bintangor pada Sabtu.

Ketika ditemui, beliau merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak UKAS atas kesudian membantu meringankan beban golongan memerlukan di kawasan DUN nya.

Beliau turut memuji kapitan-kapitan di Kampung Cina di situ atas usaha mengumpul semua penduduk di kawasan berkenaan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 baru-baru ini.

Sementara itu, Pemanca Yii Hee Sieng turut menyambut baik penganjuran Program Ziarah UKAS sebagai platform bermanfaat membantu golongan yang memerlukan di Meradong.

Jelasnya, program itu sedikit sebanyak meringankan beban ahli keluarga yang terkesan sekali gus memperlihatkan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan rakyat.

Untuk rekod, program sama turut dianjurkan pada Jumaat bertempat di Dewan Pejabat Daerah Meradong dengan jumlah penerima juga seramai 50 orang terdiri daripada golongan asnaf, OKU dan warga emas di sekitar Meradong. – EDISI UKAS

Share
0

add comment