JPJ Sarawak Tingkatkan Perkhidmatan Pengurusan Kaunter, Bantu Kesukaran Pengguna Jalan Raya

SABTU, 24 JULAI 2021

KUCHING : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak akan mempertingkatkan perkhidmatan pengurusan kaunter di agensi tersebut.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan medianya pada Jumaat, pihaknya telah menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai kesukaran untuk berurusan dengan JPJ Sarawak terutama dalam membuat pembayaran untuk perkhidmatan pengangkutan termasuk pembaharuan cukai jalan dan pendaftaran kenderaan.

Sehubungan dengan itu katanya, bagi mengatasi masalah tersebut, perkhidmatan transaksi kaunter JPJ Sarawak akan ditingkatkan dari 210 kepada 300, penambahan slot dari 70 slot kepada 100 slot, termasuk kapasiti kakitangan yang bekerja daripada 50 peratus kepada 60 peratus mulai 26 Julai ini.

“Strategi ini akan membolehkan lebih banyak orang dilayan dan akan membantu mengurangkan masa menunggu tempahan di dalam talian,” jelasnya dalam kenyataan itu selepas bermesyuarat bersama Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili di Kuching.

Dalam pada itu, Datuk Lee turut memaklumkan bahawa tempoh pelanjutan masa telah diberikan kepada semua pengguna kenderaan di Sarawak bagi tujuan memperbaharui cukai jalan mahupun lesen memandu, sehingga 30 September 2021.

“Pihak Polis dan Unit Penguatkuasaan JPJ telah dimaklumkan mengenai tempoh penangguhan yang diberikan kepada semua pemandu kenderaan yang tidak dapat memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu mereka selama tempoh pandemik ini,” tambahnya. -EDISI UKAS

Share
0

add comment