Kerajaan Laksana Program Outreach Vaksinasi Dan ‘Program Mopping’ Pertingkatkan Kadar Penerimaan Vaksin Di Bahagian Limbang

SABTU, 24 JULAI 2021

LIMBANG: Setakat 22 Julai, sejumlah 29,298 orang telah mendapat suntikan vaksin dos pertama dan 20,574 orang dos kedua di Daerah Limbang manakala Daerah Lawas pula mencatat 25,191 orang dos pertama dan 23,557 orang dos kedua.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Kerajaan Sarawak akan terus meningkatkan lagi kesedaran masyarakat di Bahagian Limbang dalam mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dengan mengadakan Program Outreach Vaksinasi di kawasan pedalaman dan ‘Program Mopping’ untuk penduduk yang terhad pergerakannya seperti Orang Kurang Upaya (OKU) dan sakit. 

Katanya, keseluruhannya masyarakat yang layak menerima vaksin di Bahagian Limbang yang berumur 18 tahun ke atas adalah seramai 73,923 orang.

“Kita juga telah menyenaraikan kawasan mana kita akan bergerak untuk Program Outreach Vaksinasi dan ‘Program Mopping’ yang akan melibatkan semua kawasan. 

“Kita menyasarkan semua yang layak ini lebih-lebih lagi yang telah mendapatkan dos pertama dan mana-mana yang tertinggal lagi, semuanya akan mendapat dos yang kedua menjelang 24 Ogos ini. Ini sasaran kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Bahagian Limbang pada Jumaat. 

Secara keseluruhannya, untuk Bahagian Limbang sebanyak 54,489 orang atau 73.7 peratus telah mendapatkan vaksin dos pertama dan dos kedua pula ialah 44,131 orang atau 59.7 peratus. 

Terdahulu Datuk Amar Awang Tengah telah mempengerusikan Mesyuarat JPBB Limbang dan mendengar taklimat Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang Dr Norliza Jusoh mengenai perkembangan terkini Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan  (PICK) Bahagian Limbang dan Laporan Bencana Banjir Bahagian Limbang daripada Pegawai Pertahanan Awam Bahagian Limbang Kapten (PA) Sulaiman Salama. 

Dalam sidang media yang sama, beliau tutur ditanya mengenai usaha kerajaan untuk menarik lebih ramai kaum Penan menerima vaksin COVID-19. 

Jelasnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang akan pergi ke kawasan penempatan kaum Penan pada 26 hingga 29 Julai ini.

“Kita mahu mereka ini semua (masyarakat Penan) menerima vaksin ini demi untuk kebaikan mereka. 

“Untuk melaksanakan program vaksinasi ini bagi kebaikan mereka, mungkin mereka fikir mereka boleh bertahan dengan perubatan tradisional mereka dalam persekitaran hutan yang masih hijau tetapi ia tidak semestinya mereka tidak akan dijangkiti oleh COVID-19 ini. 

“Jadi, usaha untuk memberikan vaksin kepada kaum Penan ini harus kita buat sebagai tanggungjawab dan ia juga adalah tanggungjawab mereka. 

“Saya berharap mereka akan menerima vaksinasi ini demi untuk keselamatan mereka,” jelasnya.

Beliau turut meminta anak-anak Penan yang bersekolah dan mempunyai pelbagai maklumat mengenai kebaikan vaksin COVID-19 ini supaya menasihatkan keluarga mereka supaya mendapatkan vaksinasi ini demi untuk keselamatan mereka, demi untuk keselamatan keluarga mereka dan demi untuk keselamatan kita semua.

Hadir sama Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Residen Bahagian Limbang yang juga Pengerusi JPBB Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi. -EDISI UKAS 

Share
0

add comment