Projek Bina Baru Dewan SK Nanga Kara Pakan Siap Sepenuhnya

SABTU, 24 JULAI 2021

PAKAN: Penantian warga pendidik dan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Kara, Pakan untuk memiliki dewan baru menjadi kenyataan dengan siapnya projek bina baru dewan terbuka sekolah berkenaan.

Projek tersebut merupakan inisiatif Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom.

Pada Jumaat, Tan Sri William Mawan bersama Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei, Frasser George Michael telah menyerahkan prasarana yang dibawah kendalian kontraktor KK Enterprise kepada Guru Besar sekolah berkenaan.

Beliau juga berharap agar dewan baru itu dapat memberi keselesaan dan kemudahan kepada warga pendidik dan murid-murid di sekolah tersebut untuk melaksanakan pelbagai program.

Sementara itu dalam majlis sama, Tan Sri William Mawan turut berkesempatan menyerahkan dua cek Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) fasa kedua bagi tahun 2021.

Beliau menyerahkan cek berkenaan kepada Pengerusi Chapel St Joseph, Ulu Kuta, Randi Saging berjumlah RM70,000 bagi tujuan pembinaan Chapel St Joseph, Ulu Kuta Pakan.

Manakala sebanyak RM200,000 peruntukan diserahkan kepada Penasihat Chapel Saint Patrick, Rumah Jonathan, Beruru, Nanga Kara, Ulu Julau, TR Jonathan Mingan untuk membina baru Chapel Saint Patrick, Rumah Jonathan, Beruru, Nanga Kara, Ulu Julau.

Tan Sri William Mawan dalam pada itu berharap projek untuk pusat ibadat itu akan memberi keselesaan kepada penganut Kristian di situ melaksanakan ibadat mereka. – EDISI UKAS

Share
0

add comment