UKAS Santuni 50 Penduduk 14 Kampung Di DUN Bukit Semuja

SABTU, 24 JULAI 2021

SERIAN: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menyantuni 50 orang penduduk di 14 kampung dalam Program Ziarah UKAS siri kedua yang diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja.

Simbolik penyampaian bakul makanan itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus di Dewan Pusat Pemindahan Banjir, Kampung Tebakang Dayak Serian pada Jumaat.

Dalam ucapan ringkasnya, John Ilus mengucapkan tahniah kepada UKAS atas usaha membantu meringankan beban penduduk yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Katanya, ia merupakan salah satu usaha kerajaan negeri melalui UKAS bagi membantu individu yang terkesan dan meringankan beban mereka.

“Kategori penerima dalam siri kedua ini adalah Orang Kurang Upaya (OKU), pesakit kronik, warga emas terlantar, hilang pendapatan dan asnaf.

“Saya juga berharap ketua kampung terlibat telah memilih dan mengenalpasti penerima yang sahih dan benar-benar layak mengikut kriteria yang ditetapkan bagi menerima bantuan bakul makanan ini,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Kampung Tebakang Dayak, Kranang Tanggai yang mewakili penerima menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak menerusi UKAS atas sumbangan bakul makanan tersebut.

Program Ziarah UKAS dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Serian dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung yang terlibat.

Program Ziarah UKAS juga dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dan bakul makanan diserahkan kepada ketua kampung sebelum diagihkan kepada penerima yang telah dipilih. -EDISI UKAS

Share
0

add comment