ADUN Saribas Tinjau Program Vaksinasi, Serah Sumbangan Kepada Barisan Hadapan

AHAD, 25 JULAI 2021

DEBAK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam pada Ahad meluangkan masa meninjau Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) diadakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid Ar-Rayyan, Kampung Tuie.

Dalam lawatan itu, beliau turut melakukan penyerahan sumbangan peribadi beliau kepada petugas-petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang bertugas sepanjang pemberian vaksin di PPV itu.

Seramai 1,602 penduduk di lima buah kampung sekitar Debak telah divaksin sejak program itu bermula pada 22 Julai dan dijangka selesai pada 25 Julai dengan penerima terdiri dari penduduk Kampung Serabang, Kampung Tuie, Kampung Medang, Kampung Supa dan Kampung Manggu.

Hari ketiga program itu pada Ahad menyaksikan penduduk menerima dos kedua vaksin jenis Sinovac.

Pada sebelah petang, Mohammad Razi berkesempatan menyempurnakan penyerahan bakul makanan PEMULIH bertempat di Rumah Kemarau Changgan, Munggu Prin, Debak.

Dalam ucapan ringkasnya, beliau memberitahu Bantuan Bakul Makanan ini merupakan peruntukan khas Kerajaan Persekutuan berjumlah RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen Malaysia.

Katanya, dengan adanya bantuan itu sedikit sebanyak dapat membantu penduduk yang memerlukan di kawasan Saribas.

“Ini merupakan salah satu cara kerajaan membantu rakyat yang terkesan sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan melibatkan rakyat yang terjejas pendapatan mereka,” katanya.

Jelas beliau, Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat telah memberi tanggungjawab menyampaikan bakul makanan ini kepada setiap ADUN.

Seramai 1015 Ketua Isi Rumah (KIR) untuk DUN Saribas yang disenaraikan Jabatan Kebajikan Bahagian Betong akan menerima bantuan berkenaan.

Program agihan dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Bahagian Betong dengan bantuan sukarelawan dari Saribas. – EDISI UKAS

Share
0

add comment