Sektor Pelancongan Pacu Pembangunan Pekan Siniawan

AHAD, 25 JULAI 2021

BAU: Sektor pelancongan di Pekan Siniawan bakal mengubah pekan tersebut sebagai destinasi yang unik untuk dikunjungi oleh para pelancong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh berkata, sebagai wakil rakyat kawasan yang tiada bandar dan pekan, maka tumpuan beliau adalah menjadikan Pekan Siniawan berubah ke arah itu.

Menurutnya, para pengunjung bukan sahaja boleh melihat pekan lama Siniawan yang berusia lebih 100 tahun, tetapi akan melihat satu tugu besar yang dibuat oleh komuniti di sini dengan bantuan kerajaan dan pelbagai pihak.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan program pecah tanah projek pembinaan patung Guan Yin bertempat di Pekan Warisan Siniawan pada Sabtu.

Tambahnya lagi, Patung Guan Yin akan menjadi yang paling besar dan tertinggi di Sarawak dengan ketinggian 10.6 meter dan bakal menjadi satu ikon yang bukan sahaja kepada Siniawan tetapi Sarawak amnya.

Malah kerajaan Sarawak juga katanya telah berjanji akan memberi peruntukkan di bawah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) sebanyak RM300,000 pada tahun depan untuk projek tersebut.

“Projek pembinaan Siniawan Walking Street juga sudah siap pembinaannya dengan bantuan kerajaan yang membabitkan kos sebanyak RM500,000.

“Manakala projek pembinaan Waterfront Siniawan juga sedang rancak dijalankan membabitkan kos sebanyak RM10.2 juta,” katanya.

Sambil menambah, satu lagi produk yang unik akan dilakukan adalah Heritage Cruise daripada Kuching waterfront ke Siniawan Waterfront.

Sementara itu, Timbalan Menteri Peusahaan Peladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin yang turut hadir sama menyempurnakan program tersebut memberitahu bahawa kos keseluruhan projek bernilai RM2.2 juta itu dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Katanya, walaupun kerajaan persekutuan telah memberikan peruntukan sebanyak RM300,000 namun beliau akan berusaha untuk membantu mencari dana daripada sumber lain supaya hasrat komuniti di sini menjadi realiti.

Jelasnya, matlamat pembinaan projek tersebut adalah untuk membangunkan Tokong Shui Guet Gong dan pekan warisan Siniawan sebagai satu destinasi pelancongan, menjana pembangunan ekonomi dan meningkatkan pendapatan masyarakat tempatan, mengeratkan gubungan mesra serta mengukuhkan perpaduan antara kaum yang bersesuaian dengan konsep keraian pelbagai agama.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo turut berhasrat untuk membawa Regatta Siniawan kelak dan akan bekerjasama dengan pihak ADUN Serembu untuk membuat kerja-kerja pembersihan. -EDISI UKAS

Share
0

add comment