Daerah Lawas Bebas Penyakit Rabies, Kerajaan Sarawak Perketatkan Pintu Kawalan Sempadan Elak Kemasukan Varian Delta

AHAD, 25 JULAI 2021

LAWAS: Daerah Lawas bebas daripada jangkitan penyakit Rabies apabila sampel air liur anjing yang ditangkap didapati negatif.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Majlis Daerah Lawas telah menghantar enam sampel air liur anjing untuk diuji pada 19 Julai lepas didapati negatif. 

“Berhubung dengan Rabies, pihak Majlis Daerah Lawas telah menghantar 6 sampel untuk diuji pada 19 Julai 2021 dan daripada ujian yang dibuat didapati semuanya negatif,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Lawas di Pejabat Daerah Lawas pada Sabtu.

Sementara itu, ditanya mengenai langkah-langkah keselamatan yang dilaksanakan kerajaan dalam membendung penularan virus COVID-19 varian Delta di Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah memberitahu kerajaan akan memperketatkan dan mempertingkatkan lagi kawalan sempadan kita samada melalui darat atau laut dan udara.

“Varian Delta pantas merebak dan kita akan ketatkan lagi kawalan-kawalan di sempadan kita. 

“Dengan cara vaksin ini juga kita masih dapat membendung penularan COVID-19 termasuk varian Delta ini.

“Bagi penduduk di Daerah Lawas yang bekerja di Miri, Labuan atau Sabah perlu mendapatkan vaksin terlebih dahulu dan tidak perlu balik ke Lawas dahulu buat masa ini,” ujarnya. 

Dalam usaha memastikan penularan wabak COVID-19 ini dapat dikawal, setiap masyarakat memainkan peranan penting dengan mendapatkan vaksin COVID-19 bagi mencapai Imuniti Kelompok dan berkorban dengan tidak balik merentas sempadan sehingga keadaan kembali pulih.

Hadir sama Residen Bahagian Limbang yang juga Penegrusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pegawai Kesihatan Daerah Lawas Dr Farida Nazahiya Mohd Salleh dan Pengarah Hospital Daerah Lawas Dr Ahmad Syahir. -EDISI UKAS