Kerajaan Usaha Cari 5,624 Penduduk Daerah Lawas Belum Terima Vaksin COVID-19

AHAD, 25 JULAI 2021

LAWAS: Kerajaan akan terus memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Daerah Lawas dengan menyasarkan sebanyak 80 peratus akhir Ogos ini. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sebanyak 7,935 orang lagi belum mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 dan usaha mencari akan dilaksanakan dengan bantuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Pusat Khidmat Parlimen dan DUN dan badan bukan kerajaan (NGO’s). 

“Daripada informasi yang kita dapat daripada KMKK lebih kurang 1,060 yang tidak berada di Lawas ini dan bekerja di luar daerah.

“Ini bererti kalau ini betul kita mempunyai 5,624 orang lagi dan inilah yang hendak kita cuba tumpukan,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Lawas di Pejabat Daerah Lawas pada Sabtu. 

Sehingga 22 Julai, Daerah Lawas telah berjaya mencapai 25,191 orang atau 76 peratus penduduk yang telah berjaya mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dos pertama manakala 23,557 atau 71.1 peratus suntikan vaksin dos kedua. 

Sementara itu, Datuk Amar Awang Tengah telah meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuka semula Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ILIM JAKIM bagi memberi peluang kepada penduduk yang belum mendapatkan vaksin COVID-19. 

“Kita juga minta supaya Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) JAKIM supaya dibuka semula untuk memberi peluang kepada mereka yang tercicir dalam menerima suntikan vaksin dos kedua dan yang juga masih tertinggal,” ujarnya. 

Hadir sama Residen Bahagian Limbang yang juga Penegrusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pegawai Kesihatan Daerah Lawas Dr Farida Nazahiya Mohd Salleh dan Pengarah Hospital Daerah Lawas Dr Ahmad Syahir. -EDISI UKAS

Share
0

add comment