Lebih RM100,000 MRP Untuk 25 Penerima Di DUN Semop

AHAD, 25 JULAI 2021

PULAU BRUIT, DARO: Lebih RM100,000 peruntukan dari projek kecil luar bandar (MRP) telah diserahkan kepada 25 penerima dalam lawatan kerja Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol.

Beliau menyerahkan sumbangan tersebut dalam bentuk bantuan kewangan serta pelbagai barangan yang dipohon penduduk dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM108,023 semasa lawatan kerja empat hari bermula 23 Julai 2021 itu.

Penerima terdiri daripada empat buah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan tadika, 17 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), sebuah JKKK kampung dan tiga persatuan.

Disamping itu empat penerima yang merupakan pekebun kecil dari Kampung Penipah dan Kampung Salah Kecil turut menerima bantuan input pertanian dengan jumlah keseluruhan RM18,860.

“Seperti kebiasaan, pemimpin-pemimpin kampung dan rumah panjang akan mengambil kesempatan dalam perjumpaan untuk menghulur surat permohonan baharu yang kebanyakkannya melibatkan perkara-perkara seperti membaikipulih atau naiktaraf kemudahan awam dalam kampung.

“Selain itu, saya turut menerima beberapa aduan dari pemimpin kampung dan PIBG berhubung dengan talian telefon dan internet yang lemah atau terputus.

“Saya memohon pemimpin kampung serta rumah panjang untuk cepat melaporkan keadaan tersebut supaya tindakan segera dapat dilakukan oleh agensi-agensi yang berkaitan,” jelasnya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) berkongsi kerisauan ramai penduduk tentang ancaman virus COVID-19 yang belum reda.

Ujarnya, penduduk sukar bergerak dan ini telah menjejaskan sosioekonomi terutamanya bagi para petani atau nelayan yang ingin memasarkan hasil kebun dan laut mereka.

Sepanjang lawatan kerja ini, Abdullah turut mengambil kesempatan untuk memantau beberapa projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang tertunda disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama lebih dari sebulan.

Ditanya mengenai pematuhan SOP dalam lawatan kerja tersebut, beliau memaklumkan bahawa setiap perjumpaan melibatkan kumpulan yang kecil dan pematuhan asas seperti pemeriksaan suhu serta memastikan semua menguna pelitup muka.-EDISI UKAS

Share
0

add comment