PKPD Kampung Bintawa Hilir Berjalan Lancar, Tiada Pelanggaran SOP

AHAD, 25 JULAI 2021

KUCHING: Tiada sebarang isu pelanggaran prosedur standard (SOP) dilaporkan berlaku melibatkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Kampung Bintawa Hilir yang dikuatkuasakan sejak 21 Julai lepas.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, setakat empat hari PKPD dikuatkuasakan, proses berkenaan berjalan lancar dengan semua penduduk memberi kerjasama.

Jelas beliau, PKPD Kampung Bintawa Hilir melibatkan sebanyak 578 rumah dan membabitkan seramai 3,614 orang penduduk.

“Sejak penguatkuasaan PKPD di kampung tersebut, sebanyak 50 kes positif telah dikesan dan setakat ini belum ada maklumat mengenai penularan varian.

“Setakat ini, PKPD di kampung tersebut berjalan lancar tanpa sebarang isu pelanggaran prosedur standard (SOP) dilaporkan berlaku dan terima kasih kepada 14 agensi yang telah terlibat membantu dalam tempoh itu,” katanya.

Terdahulu beliau telah menyampaikan bantuan makanan basah termasuk ayam segar dan sayur-sayuran manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat menyampaikan bantuan makanan kering kepada wakil penduduk Kampung Bintawa Hilir pada Ahad. -EDISI UKAS

Share
0

add comment