PPKK Serian Pergiat Peranan Sebagai Sistem Sokongan Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak

AHAD, 25 JULAI 2021

SERIAN: Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) Serian akan mempergiat peranan serta usaha dalam menyalurkan informasi apa-apa kejadian penganiayaan dan pengabaian seorang kanak-kanak kepada mana-mana Pelindung atau Pegawai Kebajikan Masyarakat.

PPKK merupakan pasukan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan ditubuhkan di negeri dan daerah berfungsi sebagai sistem sokongan kepada perkhidmatan perlindungan kanak-kanak.

Di antara aktiviti yang dikendalikan oleh PPKK ialah Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) yang dirancang dan dilaksanakan mengikut keperluan masyarakat setempat.

Sementara itu, Pengerusi PPKK Serian, Melin Sunang berkata, segala perancangan aktiviti sepanjang tahun terpaksa ditangguhkan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak Mac 2020.

Beliau turut memaklumkan PPKK memainkan peranan penting dalam menganjurkan program pendidikan awam, pencegahan dan pemulihan yang berhubung dengan kanak-kanak, termasuk program ceramah, forum dan aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan.

“Kanak-kanak merupakan aset negara dan penyambung nadi pembangunan negara pada masa hadapan.

“Kerajaan juga amat prihatin kepada kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak, maka kita harus melindungi mereka dari perkara yang tidak diingini,” jelasnya ketika ditemui pada Ahad. -EDISI UKAS

Share
0

add comment