PPV IPT Mega UNIMAS Berjaya Catat 106,610 Penerima Vaksin COVID-19

AHAD, 25 JULAI 2021

KOTA SAMARAHAN: Sehingga 25 Julai, seramai 106,610 penduduk telah menerima vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) IPT Mega UNIMAS yang mula beroperasi pada 14 Jun lepas.

Dalam entri terbaru di Facebook Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada Ahad, Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi menjelaskan kejayaan PPV IPT Mega UNIMAS disebabkan semangat sukarelawan dan sistem pengurusan yang baik.

“Kejayaan ini dapat dicapai kerana semangat kesukarelawan yang tinggi selain dari penggunaan sistem pengurusan penggiliran atau dikenali sebagai QVAC.

“Sepanjang PPV ini beroperasi seramai 800 sukarelawan yang melibatkan pelajar dan kakitangan UNIMAS sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, rekod tertinggi jumlah dos suntikan vaksin yang pernah dicapai PPV IPT Mega UNIMAS secara harian ialah pada 25 Jun 2021 dengan jumlah penerima seramai 5,584 orang.

Sementara itu, PPV ini juga melakukan program vaksinasi bersama komuniti melibatkan 3,210 orang penduduk dari 27 buah perkampungan di kawasan Kuching dan Samarahan.

Untuk memudahkan penduduk di kawasan terlibat, UNIMAS menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas secara percuma pergi dan balik bagi memudahkan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. -EDISI UKAS

Share
0

add comment