AHAD, 25 JULAI 2021
KUCHING: Dalam kenyataan akhbar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 23 Julai lepas, terdapat 76 kes positif COVID-19 varian Delta iaitu Variant of Concern (VOC) telah dikesan di Sarawak.
Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dalam kenyataan media pada Ahad, jumlah ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 varian Delta yang telah dikesan di Sarawak adalah sebanyak 93 kes bagi tempoh Mei hingga Julai 2021.
“Kes varian Delta paling banyak dikesan di Bahagian Kuching sebanyak 69 kes, diikuti Samarahan (10 kes), Serian (6 kes), Sri Aman (5 kes), Miri (2 kes) dan Sibu (1 kes).
“Daripada jumlah tersebut, satu kes merupakan kes import A, empatkes import B dari Semenanjung Malaysia, lapan kes dikesan di kalangan tahanan polis dan imigresen di Bahagian Kuching, Sri Aman dan Serian manakala selebihnya adalah kes jangkitan tempatan.
Tambah kenyataan itu lagi, kes COVID-19 varian Delta telah dikesan di beberapa lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Di Bahagian Kuching, ianya dikesan di PKPD Kampung Astana Lot dan Sungai Bedil Besar, PKPD Kampung Seratau, PKPD Emperoh Nyiru Grait dan PKPD Kampung Bintawa Hilir.
“Kes varian Delta turut dikesan dalam kalangan kes-kes kluster aktif seperti Kluster Sentosa 2, Kluster Salak Land, Kluster Sungai Bedil Besar, Kluster KM23 Jalan Puncak Borneo, Kluster Pagar Satok, Kluster Jalan Tasik Biru By-Pass, Kluster Duyoh, Kluster Pagar Serian, Kluster Tembok Sri Aman 2 dan Kluster Lorong Perlis Empat Miri,” tambahnya.
Sebanyak 56 kes atau 60 peratus pesakit yang dijangkiti COVID-19 varian Delta belum menerima vaksin manakala 27 kes atau 29 kes telah menerima dos pertama vaksin dan 10 kes atau 11 peratus telah menerima dos kedua vaksin sebelum mereka dikesan positif COVID-19.
Bagaimanapun, hanya 8 kes telah lengkap menerima vaksin iaitu lebih daripada 14 hari selepas dos kedua.
Dalam pada itu, sebanyak 98 peratus kes COVID-19 ini berada pada tahap klinikal 1 dan 2 yang menunjukkan keadaan kes adalah stabil dan tidak memerlukan bantuan oksigen.
Hanya satu kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kes tersebut juga dalam keadaan stabil.
Tiada kes kematian yang dilaporkan dalam kalangan kes varian Delta tersebut.
Justeru, KKM menasihati masyarakat di Sarawak supaya tidak leka dan terus kekal berwaspada dengan memakai dua lapisan pelitup muka sekiranya berada di tempat berisiko tinggi dan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP). -EDISI UKAS