SOP Dititikberatkan, Kesejahteraan Penduduk Terjamin

AHAD, 25 JULAI 2021

SPAOH : Ketua Masyarakat yang gagal memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 di penempatan mereka, berisiko dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa.

Memetik ucapan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang diwakili oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri, Dr Richard Rapu ketika perasmian Bengkel Kepolisan Komuniti, adalah tanggungjawab mereka untuk menjaga kesejahteraan penduduk.

Tambah beliau lagi, beberapa Tuai Rumah di negeri ini sudah dikompaun RM2,000 di atas kesalahan melanggar SOP.

Oleh itu, walaupun sudah ramai penduduk menerima vaksin, namun tidak bermakna penduduk boleh melanggar SOP.

“Adalah sangat penting  SOP dititikberatkan di majlis keramaian terutamanya majlis pengebumian dan aktiviti sosial yang melibatkan kehadiran orang ramai di sesuatu tempat”

“Jika ada majlis pengebumian, Tuai Rumah perlu memberitahu Pejabat Daerah terlebih dahulu bagi pengawalan orang ramai supaya tidak berlaku lagi kejadian seperti kluster Pasai yang merupakan kluster terbesar di negeri ini,” ujarnya.

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban memberitahu, sehingga kini terdapat 22 kluster adalah disebabkan oleh majlis pengebumian yang menjadikan jumlahnya kepada 4,466 kes positif dan 35 kematian bagi negeri ini.

Pegawai Kesihatan bahagian Betong, Dr Johnny Pangkas pula berkata, sekitar 80 peratus penduduk di daerah itu telah menerima vaksin COVID-19.

Beliau juga berpesan kepada Tuai Rumah agar memastikan penduduk di kawasan masing-masing yang hadir di majlis pengebumian atau aktiviti sosial untuk mendaftarkan maklumat peribadi terutamanya nombor telefon, supaya mudah untuk dihubungi ketika Operasi Pengesanan Kes Aktif (ACD). – EDISI UKAS

Share
0

add comment