278 Pelajar Di Simunjan Terima Baucer Bantuan Pakaian Seragam Sekolah

ISNIN, 26 JULAI 2021

SIMUNJAN: Seramai 278 pelajar di kawasan Simunjan dipilih untuk menerima baucer bantuan pakaian seragam sekolah pada tahun ini.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Simunjan, Awla Dris telah menyempurnakan majlis simbolik penyerahan baucer bantuan pakaian seragam sekolah di Rumah Rehat Sri Simunjan pada Isnin.

Menurut Awla, seramai 278 pelajar terpilih sebagai penerima baucer bantuan ini yang bernilai RM200 untuk setiap baucer.

“Saya berharap dengan adanya bantuan ini dapat meringankan beban para ibu bapa bagi persediaan pakaian seragam sekolah anak-anak.

“Baucer bantuan tersebut ditaja oleh pihak Yayasan Sarawak yang diuruskan oleh Pusat Khidmat DUN Simunjan untuk diagihkan kepada 13 buah sekolah rendah dan dua buah sekolah menengah di kawasan DUN Simunjan,” katanya.

Penerima baucer adalah pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Terasi, SK Sungai Bulu/Senangeh, SK Haji Bujang Rangawan Putin, SK Abang Man, SK Sageng, Sekolah Jenis Kebangsaan SJK (C) Chung Hua Simunjan, SK Sekendu, SK Gunung Ngeli, SK Sungai Lingkau, SK Lepong Emplas, SK Temiang, SK Sungai Apin, SK Tanjung Pisang Selangkung, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Sadong dan SMK Simunjan No. 1. –EDISI UKAS

Share
0

add comment