Bantuan Ihsan RM1.7 Juta Kepada Penduduk Terjejas Banjir Di Daerah Lawas

ISNIN, 26 JULAI 2021

SUNDAR: Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha memastikan masyarakat di Daerah Lawas yang terjejas akibat banjir diberikan bantuan bagi meringankan beban mereka. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sebelum ini telah bersetuju memberi bantuan ihsan sebanyak RM1.7 juta kepada mereka yang terjejas banjir.

“Saya cukup sedih dalam tempoh dua bulan ini kawasan Daerah Sundar sudah dua kali dilanda banjir dan ramai yang terjejas. 

“Banjir yang kedua ini telah menyebabkan sebanyak 2,535 buah rumah yang terjejas. 

“Difahamkan kawasan di Sundar ini rendah dan apabila hujan lebat turun menyebabkan banjir. Kita akan cuba meluruskan beberapa tanjung di sungai ini untuk mengurangkan masalah banjir,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Simbolik Penyerahan Bakul Makanan Program Ziarah UKAS di Perkarangan Pejabat Daerah Kecil Sundar pada Ahad. 

Seramai 14 anak yatim yang diwakili ibu atau bapa mereka menerima bantuan makanan sebagai simbolik penyerahan. 

Mengenai situasi semasa COVID-19, Daerah Lawas kini telah menjadi Zon Hijau, tetapi ini tidak bermakna rakyat harus berasa selesa sebaliknya terus mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP). 

Sehingga 22 Julai, 76 peratus daripada 33,126 penduduk telah menerima vaksin dan masih ada lebih 7,000 yang belum mendapat vaksin COVID-19 dan berharap mereka ini mendapat suntikan vaksin COVID-19. 

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari turut memberitahu Kerajaan Sarawak telah merancang beberapa projek pembangunan termasuk Program Pembesaran Kampung seperti di Sundar ini. 

“Program Pembesaran Kampung ini mengikut spesifikasi baru iaitu tanah ditembok, jalan bertar, parit simen dan sebagainya.

“Begitu juga Projek Pembinaan Waterfront Sundar yang akan diteruskan dengan pelbagai kemudahan dan rekreasi seperti ‘wall climbing’, memanah, basikal, dan banyak aktiviti sukan akan ditempatkan di Sundar ini.

“Malah, Kerajaan Sarawak melalui LCDA telah mengambil alih semula Rimbunan Kasih dengan mengeluarkan Lawas Golden Rock Melon untuk dieksport,” katanya. 

Hadir sama Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Lawas. -EDISI UKAS

Share
0

add comment