Kerjasama Semua Pihak Ditagih Bendung Kes Kecurian Kabin Menara Telekomunikasi: Abdullah

ISNIN, 26 JULAI 2021

DARO: Ketua Masyarakat termasuk golongan belia dan sukarelawan di Pulau Bruit digesa agar sentiasa peka dan meningkatkan pemantauan untuk menangani kes kecurian di kabin-kabin menara telekomunikasi di kawasan itu.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdullah Saidol menjelaskan kes kecurian itu telah berlaku sejak sekian lama di mana lebih 100 kes direkodkan pada tahun lepas dan 50 kes pada tahun ini.

“Keadaan ini menyebabkan banyak gangguan pada talian telefon dan internet.

“Justeru saya harap Ketua Masyarakat sentiasa peka dan warga belia serta sukarelawan kerap memantau supaya tidak lagi berlaku kecurian di kabin-kabin menara telekomunikasi,” katanya kepada UKAS semasa Program Community Engagement Daerah Daro di Dewan Serbaguna Kampung Tekajong, Pulau Bruit Daro pada Isnin.

ADUN Semop itu memberitahu, antara pengisian utama program itu adalah menjelaskan kepada para pemimpin kampung cara pengurusan dan pengawasan yang perlu ada ketika menghadapi ancaman pandemik Covid-19 ketika ini.

Dalam hal ini, beliau mengucapkan syabas kepada Pejabat Daerah Daro dengan kerjasama UKAS, JKR dan lain-lain kerana berjaya menganjurkan program komuniti engagement itu bersama semua KMKK dan pemimpin-pemimpin kampung.

“Betapa perlunya kita memastikan sesebuah kawasan itu bersih, bebas dari ancaman Covid-19 dan sebagainya.

“Termasuk juga program untuk memastikan semua divaksinasi dan tiada yang mengelak untuk divaksinkan,” tambah beliau.

Sementara itu, Abdullah turut menjelaskan banyak projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan sebagainya tertunda disebabkan masalah pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau juga memahami keadaan dan keresahan para kontraktor di mana kebanyakan perniagaan mereka terjejas ketika ini disebabkan kekurangan modal dan sebagainya.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis ringkas serah lima projek siap dan dua tapak projek RTP bagi DUN Semop berjumlah keseluruhan RM1,557,113.48 bertempat di Pulau Bruit Daro.

Senarai lima projek siap adalah Naiktaraf Jalan Dalam Kampung Penibong (RM150,000), Naiktaraf Titian Dan Jalan Dalam Kampung Penibong Daerah Daro, Bahagian Mukah (RM210,000), Menembok dan Naiktaraf Jalan dari Jalane Utama Masuk ke Dalam Kampung, Tekajong (RM303,036), Naiktaraf Sambungan Jalan Bendahara Ke Kampung Hulu Tekajong, Daerah Daro, Bahagian Mukah (RM101,000) dan Membina Baru Dan Menaiktaraf Jalan Masuk Ke Kampung Penipah, Daro, Daerah Daro, Bahagian Mukah (RM200,000).

Manakala dua tapak projek yang diserahkan adalah Naiktaraf Jalan Melur (Jalan Utama) Kampung Bruit, Daerah Daro, Bahagian Mukah (RM293,077.48) dan Naiktaraf Jalan Dari Dewan Ke Kpg Lama (Jalan Utama), Kampung Bruit (RM300,000).

Antara pengisian program pada hari tersebut adalah simbolik penyerahan hasil tanaman program Peladang Perihatin kepada petugas barisan hadapan dan penyerahan baucer pakaian seragam sekolah Yayasan Sarawak.

Hadir sama Residen Bahagian Mukah Hamdiah Bakir, Pegawai Daerah Daro Bujang Rahman Seli, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Matu Daro Inspektor Anuar Affindi dan Jurutera Daerah JKR Matu Daro Awang Dasuki Dol. – EDISI UKAS

Share
0

add comment