Masalah Jaringan Telekomunikasi Di Kabong Akan Dipertingkat

ISNIN, 26 JULAI 2021

KABONG: Beberapa projek pembangunan telekomunikasi sedang dalam perancangan untuk dilaksanakan di kawasan Kabong dalam usaha meningkatkan kelancaran jaringan telekomunikasi di situ.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir antara yang dirancang adalah pembinaan menara telekomunikasi dan juga beberapa kemudahan lain seperti pemasangan perkhidmatan Wi-Fi ‘SALURAN 200’ menggunakan teknologi satelit ‘Very Small Aperture Terminal’ (VSAT) dan Sarawak Rural Broadband Network (SRBN) menggunakan teknologi Fixed Wireless Access (FWA).

Beliau menjelas demikian semasa melawat tapak projek berkenaan di Kampung Nyabor dan Metang Desa pada Isnin bersama pihak Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).

Ujarnya, jaringan telekomunikasi yang lancar pada masa kini sangat penting dan amat diperlukan masyarakat khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar.

Tegasnya lagi, permintaan terhadap jaringan telekomunikasi yang lancar dan berkelajuan tinggi kini kian meningkat selepas masyarakat beralih kepada sistem Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dan Bekerja Dari Rumah (BPR) ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hadir sama semasa tinjauan itu Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sarawak, Samad Ghani; wakil Pengurus Besar SMA, Awang Johari Awang Mustapa; Pegawai Tadbir SMA (Unit Komunikasi), James Bungan; Ketua Rangkaian & Operasi SDEC, Née Angie Sing dan Penghulu Batni Saidon. – EDISI UKAS

Share
0

add comment