Pengambilan Vaksin COVID-19 Secara ‘Walk In’ Di Kesemua PPV Awam Di Miri

ISNIN, 26 JULAI 2021

MIRI: Kesemua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam di Daerah Miri kini dibenarkan untuk memberi suntikan vaksin secara ‘walk in’ kepada orang ramai.

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JPBB Miri “Vaksin Secara Walk-In di 3 PPV Awam bagi Daerah Miri & Pencapaian PICK Bahagian Miri” pada Ahad. 

“Pengambilan vaksin secara walk-in membabitkan tiga buah PPV awam iaitu PPV Dewan Eastwood, PPV Universiti Curtin dan PPV Dato’ Lee Teck Fook (Riam Road Secondary School) dari jam 9:00 pagi hingga 5:00 petang.

“Orang ramai yang hadir secara ‘walk-in’ ke PPV awam tersebut diminta untuk membawa kad pengenalan serta rekod perubatan masing-masing. 

“Mereka boleh mendaftar secara ‘walk-in’ sekiranya stok vaksin sudah habis atau mendapat suntikan vaksin secara ‘walk-in’ selagi stok vaksin masih ada pada hari berkenaan,” katanya. 

Jelas Datuk Lee lagi, JPBB Miri mensasarkan lebih 80 peratus daripada 311,035 populasi penduduk berumur 18 tahun dan ke atas di Bahagian Miri mendapatkan imuniti kelompok selewat-lewatnya penghujung Ogos ini.

Sementara itu, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Bahagian Miri berjalan dengan lancar. 

Setakat ini seramai 259,663 orang atau 83.48 peratus penduduk di Bahagian Miri telah menerima suntikan vaksin COVID-19 dos pertama manakala, dos kedua ialah seramai 174,872 orang atau 56.22 peratus.

Hadir sama Pemangku Residen Bahagian Miri yang juga Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri Jamalie Busri, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman A/L Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu dan Pegawai RELA Daerah Miri Mohamad Afizi Salam. -EDISI UKAS

Share
0

add comment