ISNIN, 26 JULAI 2021
SERIAN: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Serian mengadakan Program Ziarah UKAS di kawasan DUN Kedup dengan penyerahan bantuan bakul makanan kepada 106 orang penduduk dari 10 buah kampung di Kampung Paon Sungai Rimu Bakung pada Isnin.
Kampung yang terlibat ialah Kampung Paon Sungai Rimu Bakung, Kampung Paon Sungai Rimu, Kampung Sumpas Tampek, Kampung Kranji Atas, Kampung Kranji Baroh, Kampung Mantung Mubuk, Kampung Resak, Kampung Prangkan Mawang, Kampung Antayan dan Kampung Mayang Kawan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Martin Ben telah menyempurnakan penyerahan secara simbolik kepada para penerima dan kepada ketua kaum serta tuai rumah yang mewakili penduduk dari kampung masing-masing.
Dalam ucapan ringkasnya, Martin merakamkan penghargaan kepada UKAS di atas penganjuran program berkenaan yang menyasarkan bantuan kepada golongan sasar yang majoritinya warga emas.
Tambahnya, sejak pandemik COVID-19 melanda, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan bantuan bagi membantu meringankan beban perbelanjaan rakyat yang terkesan tanpa mengira latar belakang. -EDISI UKAS