SIDC Selaras Penyelidikan Dan Pembangunan, Sokong Pembangunan Modal Insan

ISNIN, 26 JULAI 2021

KUCHING: Penubuhan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) adalah untuk menyelaras pengurusan dan menawarkan dana untuk penyelidikan dan inisiatif pembangunan sekaligus menyokong pembangunan modal insan dalam pelbagai penyelidikan.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Amar Michael Manyin Jawong berkata, Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) pula ditubuhkan bagi membolehkan penyelarasan aktiviti penyelidikan yang berkesan, memudahkan dan menarik kerjasama yang bermakna antara tempatan dan institusi penyelidikan antarabangsa.

Menurutnya, ia juga termasuk tumpuan kepada sains kesihatan bioperubatan dan lestari menggunakan kepelbagaian biologi untuk terapi, nutraseutik dan diagnostik.

“Kita juga jangka sinergi antara industri kesihatan bioperubatan dan biodiversiti akan melonjakkan Sarawak ke pusat penyelidikan dan pembangunan bertaraf dunia sekaligus meningkatkan ekonomi Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa  Majlis Pelancaran SRDC dan SIDC yang telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini pada Isnin.

Beliau turut memberitahu  Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Pusat Sains Sarawak akan bekerjsama dalam menjayakan program kesedaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan masyarakat.

“SIDC bukan sahaja untuk mengkaji penyakit dan epidemiologi, tetapi juga untuk menyediakan platform bagi syarikat berkaitan bioperubatan dan bioteknologi untuk mengembangkan produk dan perkhidmatan bertaraf dunia di Sarawak,” ujarnya. –EDISI UKAS

Share
0

add comment