SRDC & SIDC Pemangkin Pembangunan Industri Bioperubatan Sarawak

ISNIN, 26 JULAI 2021

KUCHING: Penubuhan Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) dan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) akan menjadi pemangkin kepada pembangunan industri bioperubatan di negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penubuhan SRDC dan SIDC adalah salah satu inisiatif oleh kerajaan Sarawak untuk meningkatkan kemampuan dan kepakaran bagi mengatasi jurang tersebut.

Menurutnya, pembiayaan penyelidikan SRDC akan disasarkan bagi penyelidikan dan diarahkan untuk mendorong pengembangan bioterapi dari sumber semula jadi untuk melengkapkan aktiviti yang akan dijalankan di SIDC.

“Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini terdapat banyak cabaran ditempuhi terutamanya berkenaan dengan mendapatkan bekalan perubatan seperti PPE dan vaksin.

“Maka saya yakin bahawa penubuhan SIDC akan menjadi pemangkin kepada pembangunan industri bioperubatan di Sarawak,” ujarnya semasa Majlis Pelancaran SRDC dan SIDC di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, pandemik COVID-19 menunjukkan jurang yang ketara dalam persediaan wabak (ramalan, pengesanan, dan tindak balas), kesesuaian diri (kemampuan dan keupayaan) untuk memerangi wabak termasuk ketahanan ekonomi untuk menahan wabak.

“Justeru, Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) yang saya lancarkan pada 22 Julai lepas merangkumi inovasi sebagai salah satu daripada tujuh pemboleh ubah yang juga merupakan komitmen kerajaan negeri terhadap inovasi mendorong pertumbuhan ekonomi Sarawak menjelang tahun 2030 dan seterusnya.

“Jadi, bagi memanfaatkan sumber semula jadi Sarawak, inovasi ini akan memfokuskan pada perkembangan keupayaan penyelidikan dan pembangunan termasuk aplikasi komersial yang sesuai dengan bioteknologi, aplikasi digital dan tenaga yang boleh diperbaharui,” katanya.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Amar Michael Manyin Jawong, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Dr. Annuar Rapa’ee dan Peguam Besar Negeri Sarawak, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid. –EDISI UKAS

Share
0

add comment