9 Taman Rekreasi Mini Baharu Dirancang Dibina Di Kawasan DUN Senadin

SELASA, 27 JULAI 2021

MIRI: Sebanyak 9 taman rekreasi mini baharu dirancang dibina di pelbagai kawasan perumahan di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin pada tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin melahirkan komitmen setiap kawasan perumahan di DUN Senadin yang mempunyai tanah lapang akan dimanfaatkan sebagai taman rekreasi di bawah Projek Kerajaan Sarawak.

Katanya, 9 taman rekreasi mini itu akan dibina dengan dua di Tudan Desaras, Dua di Desa Senadin, satu di Permyjaya, dua di Riam dan dua di Vista Perdana.

“Taman ini akan dilengkapi kemudahan asas seperti taman permainan, larian trek joging dan peralatan kecergasan luar.

“Selain itu, taman ini juga berfungsi sebagai tempat terbaik untuk meningkatkan semangat kejiranan yang ada dalam kalangan masyarakat yang tinggal di kawasan perumahan.

“Ini adalah salah satu cara untuk mendorong masyarakat memanfaatkan sepenuhnya taman rekreasi mini dengan mempraktikkan gaya hidup sihat,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan kunjungan ke Tapak Pembinaan Taman Rekreasi Mini di Taman Wah Shin dan Taman Jalan Nasturtium Riam pada Selasa. 

Setakat ini sejumlah 14 taman rekreasi mini telah dimasukkan dalam Rancangan Pembinaan Taman Rekreasi Mini tahun 2021 termasuk 5 yang telah disiap bina pada tahun lepas.

Jelasnya lagi, trek jogging orang awam yang terletak di seberang Taman Awam Miri juga dalam rancangan untuk dinaik taraf pada tahun 2022.

Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan menjadi agensi pelaksana dengan setiap projek dibiayai di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan rancangan projek pembinaan taman rekreasi mini baharu ini dalam peringkat tender terbuka. 

Hadir sama Kapitan Jee Kee Hiong, Ahli Majlis Bandaraya Miri, Jeffrey Phang dan Kueh Chie Tiong, dan wakil Pegawai Bahagian Landskap MBM. -EDISI UKAS

Share
0

add comment