Belia SABERKAS Turut Berperanan Membantu Bersama Mengekang Penularan Wabak COVID-19

SELASA, 27 JULAI 2021

BEKENU: Belia-belia Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu diminta bersama masyarakat mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 di Sarawak. 

Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus berkata, mereka harus mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan bagi memastikan masyarakat mendapat manfaatnya.

“Belia-belia SABERKAS perlu bersama mengekang penularan wabak COVID-19 di kalangan masyarakat dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. 

“Hanya dengan mematuhi SOP dan pengambilan vaksin membolehkan kes positif COVID-19 turun seperti yang berlaku hari ini. 

“Saya yakin penurunan kes positif COVID-19 akan berterusan di Sarawak jika semua penduduk memberi kerjasama yang baik khususnya dalam mengamal dan mematuhi SOP,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada ahli SABERKAS Cawangan Bekenu yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pusat Aktiviti Belia Sibuti pada Ahad. 

Program ini diadakan secara ringkas dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Mengulas mengenai program ini, Pengerusi SABERKAS Cawangan Bekenu Mahmud Sanai berkata, seramai 54 ahli SABERKAS daripada 9 unit di dalam Cawangan Bekenu telah dipilih untuk menerima bantuan bakul makanan kerana pendapatan bulanan yang terjejas dengan PKP akibat pendamik COVID-19 ini. 

“Setakat ini, SABERKAS Cawangan Bekenu akan mengutamakan dahulu ahli-ahli mereka yang benar-benar memerlukan sebagai tanggungjawab menjaga kebajikan mereka. 

“Setakat ini seramai 389 orang ahli Saberkas telah mendaftar di bawah Cawangan Bekenu,” katanya. 

Selepas simbolik penyerahan itu, agihan bakul makanan tersebut akan dilakukan ahli-ahli SABERKAS sendiri rumah ke rumah dan tidak melibatkan orang ramai. -EDISI UKAS

Share
0

add comment