Pasar Minggu Lutong Dibuka Kepada Penjaja Tidak Berlesen

SELASA, 27 JULAI 2021

MIRI: Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang telah melawat Pasar Minggu Lutong dan mengadakan sesi dialog bersama Penjaja Tidak Berlesen di Lutong pada Isnin. 

Ini susulan insiden pasukan penguatkuasa Majlis Bandaraya Miri (MBM) membuat serbuan di Pasar Minggu Penjaja Lutong, Miri pada Ahad lepas. 

Menurut Datuk Sebastian Ting yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, pembukaan Pasar Minggu Lutong ini telah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Pasar Minggu Lutong ini juga merupakan tapak struktur kekal dan bukan jenis penjaja bergerak yang merupakan salah satu Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Piasau dengan kos pembinaan berjumlah RM35,000.

Pasar Minggu Lutong akan mula beroperasi bermula pada Ahad ini, 1 Ogos 2021 dengan konsep “siapa cepat dia dapat” dengan bayaran hanya RM2.00 sehari sahaja. 

Sebanyak 47 ruang kosong akan diguna pakai berbanding 94 ruang kosong yang sedia ada sebagai mengamalkan penjarakan fizikal di antara penjaja. 

Dalam memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi, kakitangan MBM akan bertugas di Pasar Minggu Lutong dengan merekodkan kehadiran penjaja, mengawal dan menjaga SOP yang ditetapkan seperti mengimbas kod QR, MySejahtera atau buku log pelanggan, semakan suhu badan dan pembersih tangan.

Hadir sama Setiausaha Majlis Bandaraya Miri Morshidi Fredrick. -EDISI UKAS

Share
0

add comment