SELASA, 27 JULAI 2021
TATAU: Lebih 90 peratus masyarakat di Daerah Tatau mendapat suntikan vaksin COVID-19 dos pertama dan 70 peratus lagi dos kedua.
Menteri Muda (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata ini merupakan pencapaian yang membanggakan dalam usaha mencapai Imunisasi Kelompok pada bulan Ogos ini.
“Seperti yang kita sedia maklum untuk memerangi COVID-19 memerlukan kerjasama semua pihak.
“Selepas beberapa bulan proses vaksinasi di beberapa PPV Daerah Tatau, terdapat lebih dari 90 peratus masyarakat di Daerah Tatau telah mendapat sekurang-kurangnya suntikan vaksin dos pertama dan 70 peratus lagi mendapat suntikan vaksin dos kedua.
“Inilah satu pencapaian yang amat baik di mana rakyat di Daerah Tatau menerima vaksin dengan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyampaikan Sumbangan Hasil Tani Kepada Petugas PPV Dewan Sukan Tatau pada Ahad.
Mereka menerima hasil tani seperti buah tembikai, sayur labu kuning, buah nanas dan buah embang daripada Jabatan Pertanian dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) kepada petugas di PPV Dewan Sukan Tatau.
Datuk John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pertanian kerana menghargai dan memberi sumbangan kepada petugas barisan hadapan di PPV Dewan Sukan Tatau yang telah bekerja keras sejak beberapa bulan lepas memberi vaksin kepada penduduk di Daerah Tatau.
Sementara itu, Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu Anggang Jimbun ketika ditemui mengulas program ini diadakan bertujuan menyampaikan rasa penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas di semua PPV termasuk di PPV Ewan Sukan Tatau.
“Sebenar program ini kita laksanakan melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bintulu.
“PPK akan membeli hasil tani dari petani yang bertujuan membantu mereka dalam aktiviti pemasaran.
“Dalam masa sama kita membantu mereka untuk meningkatkan ekonomi mereka walaupun dalam keadaan pendemik COVID-19,” katanya.
Sebelum ini, program yang sama telah dilaksanakan di semua PPV di Bahagian Bintulu sebagai menghargai jasa petugas barisan hadapan yang bertugas melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong, Pakar Kesihatan Klinik Kesihatan Tatau Dr. Tiong Chong Ying, Pegawai Tadbir Daerah Tatau Winnie Dia dan Penyelaras PPV Daerah Tatau Mohammad Fazlee Abdullah. -EDISI UKAS