Spesis Murrah Punyai Saiz Lebih Besar, Sistem Natad Berjaya Tingkatkan Populasi Kerbau

SELASA, 27 JULAI 2021

LIMBANG: Industri kerbau di Sarawak tidak begitu besar dan Jabatan Pertanian telah mengambil pendekatan membuat kacukan di antara kerbau tempatan dan kerbau sungai yang dikenali sebagai Murrah. 

Menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, menerusi kaedah kacukan kedua-dua kerbau membolehkan saiznya lebih besar dan mempunyai banyak daging. 

“Disebabkan kerbau tempatan (swamp buffalo) kita tidak begitu besar, Jabatan Pertanian telah pun mengambil pendekatan membuat kacukan dengan ‘river buffalo’ (kerbau sungai) yang nama spesisnya Murrah, yang mana kerbau ini lebih besar. 

“Sejak tahun 1994, stesen ini sebagai tempat untuk pembiakan, bagi kerbau spesis Murrah,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Stesen Penternakan Kerbau Batu Danau pada Isnin. 

Pada masa ini, jumlah kerbau jenis Murrah ada 15 ekor iaitu 5 jantan 10 betina dan kerbau sawah (swamp buffalo) 49 ekor yang mana 40 ekor diimport dari Australia.

Kerbau ini akan diagihkan kepada penternak melalui Sistem Natad yang bermula sejak Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11). 

Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menambah pengenalan Sistem Natad telah berjaya meningkatkan populasi kerbau di Sarawak terutamanya di Bahagian Limbang,

“Kita akan meneruskan Sistem Natad ini di dalam RMK12 dan mendapat peruntukan sebanyak RM10 juta dari Kerajaan Persekutuan dan mensasarkan 50 orang penternak.

“Kita juga akan membina infrastruktur yang bernilai RM50,000 bagi setiap satu sistem yang terdiri daripada pagar, tempat kerbau makan dan satu lot untuk rumput. 

“Jadi satu peserta mendapat RM50,000 untuk infra ini dan membekalkan 26 ekor kerbau, 25 betina dan seekor jantan untuk menambah bilangan kerbau,” tambahnya. 

Selepas 5 tahun menggunakan Sistem Natad telah berjaya meningkatkan jumlah pengeluaran kerbau kepada 7,046 ekor pada tahun lepas.

Kerajaan Sarawak mensasarkan menjelang 2030 sekurang-kurangnya 12,000 ekor kerbau diternak di Sarawak.

Untuk mencapainya, Kerajaan Sarawak akan menambah baik infrastruktur sedia ada seperti di Meragang, Lawas dengan peruntukan sebanyak RM9 juta dan keduanya di Batu Danau dengan peruntukan RM1 juta. 

Menjawab soalan media, berkenaan pasaran daging kerbau di negara Brunei Darussalam, Datuk Dr Abdul Rahman berkata sebenarnya ini merupakan keselamatan makanan yang  mengikut SSL (Self Security Level) untuk daging yang sekarang ini hanya 10 peratus sahaja. 

“Daging ini termasuk daging lembu, kambing, kerbau dan tahun 2030 untuk SSL daging kita hendak menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus. 

“Dalam pada itu, daging kerbau ini tidak semestinya untuk pasaran Brunei dan Limbang sahaja tetapi juga ke seluruh dunia seperti Asia Tengah termasuk seluruh Sarawak.

“Selain daging, kita juga akan mempromosikan susu kerbau dan keju yang dihasilkan dari susu kerbau,” katanya. 

Turut sama AUDN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi,Pegawai Veterinar Bahagian Limbang Dr William Rovina Nating, Standard Engineering Sdn Bhd John Gusa dan Affrin Architect & Associate Sdn Bhd Geraldine Chua Jia Xuan. -EDISI UKAS

Share
0

add comment