Penduduk Kampung Tabuan Melayu Dikenakan PKPD Terima 2,500 Tambahan Bantuan Makanan

RABU, 28 JULAI 2021

KUCHING: Keperluan penduduk di Kampung Tabuan Melayu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terus mendapat perhatian. 

Kali ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abg Hipni telah menyerahkan sumbangan tambahan makanan kepada 2,500 Ketua Isi Rumah (KIR). 

“Ini merupakan sumbangan tambahan makanan kepada KIR di Kampung Tabuan Melayu selepas bantuan makanan awal telah diberikan pada 18 Julai lepas. 

“Kampung Tabuan Melayu mula dikenakan PKPD sejak 16 Julai hingga 29 Julai selama dua minggu. 

“Agihan sumbangan tambahan makanan ini akan diuruskan sukarelawan yang terdiri daripada ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyerahkan sumbangan tambahan makanan di Kampung Tabuan Melayu pada Selasa. 

Lebih kurang 10,000 penduduk Kampung Tabuan Melayu mendiami enam buah kampung antaranya Kampung Tabuan Lot, Kampung Tabuan Hilir, Kampung Tabuan Tengah, Kampung Tabuan Lama, Kampung Tabuan Ulu dan Kampung Tabuan Dani.

Dalam pada itu, Dr Hazland meminta penduduk Kampung Tabuan Melayu bersabar ketika menjalani PKPD demi memastikan wabak COVID-19 dapat ditangani dengan lebih efisien. 

“Tiada siapa yang mahu kampung atau penempatan dikawal sebegini ketat, tetapi di pihak kerajaan ini adalah langkah terbaik bagi memastikan virus COVID-19 dapat dibendung dan tidak merebak ke komuniti lain.

“Terima kasih kepada petugas barisan hadapan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan JKKK yang membantu sepanjang PKPD ini. 

“Begitu juga kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) peringkat ranting dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) yang memberikan sumbangan makanan dan membantu menyelaras agihan makanan,” ujarnya. -EDISI UKAS