PPRMS: 192 Pintu Melibatkan 6 Rumah Panjang DUN Kakus Terima Peruntukan Baik Pulih Rumah Peringkat Pertama

RABU, 28 JULAI 2021

KAKUS: Kerajaan Sarawak telah memperuntukan sebanyak RM1 juta setahun bagi melaksanakan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus. 

Menurut Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie Tayai, pada peringkat pertama tahun ini sebanyak 192 pintu melibatkan 6 buah rumah panjang dari DUN Kakus telah diluluskan permohonannya. 

Katanya, PPRMS ini melibatkan bantuan dari segi bahan binaan seperti atap spandek, pintu, batu bata, mozek lantai, siling abestos, mangkuk tandas dan alat binaan yang lain dengan kos sebanyak RM2,500.00 sepintu.

“Bantuan ini amat diperlukan untuk kita membaik pulih rumah panjang dan terdapat banyak permohonan semasa saya turun padang. 

“Apa yang paling penting ialah kita bekerjasama. Dengan peruntukkan ini dapat untuk membaiki rumah dan memberi tempat tinggal yang lebih selesa.  

“Saya harap kita akan bekerjasama dan saya ingin lihat rumah di kawasan Kakus ini cantik dan seragam. Contohnya siling, pintu atau cat rumah yang sama,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Perlaksanaan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) di Pusat Khidmat ADUN Kakus pada Rabu. 

Sebanyak 6 buah rumah panjang dengan jumlah keseluruhan pintu adalah 192 pintu telah diluluskan pada peringkat pertama antaranya Rh Norma anak Sanggat, Jalan Samarawan, Rh Arjey anak Kenai, Nanga Mina, Rh Gerry anak Jani, Ulu Mejau, Tatau, Rh Robert anak Ahsoon, Nanga Empang, Rh Was anak Janting , Sungai  Entajum dan Rh Degum anak Usit, Sungai Puti, Kakus. 

Datuk John Sikie Tayai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus meminta semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan tuai rumah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara ini dan melaksanakannya dengan segera.

Bagi Tuai Arjey Kenai yang mewakili Rumah Panjang Arjey anak Kenai yang mempunyai 62 pintu rumah panjang mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan ADUN Kakus Datuk John Sikie kerana telah meluluskan peruntukkan PPRMS kepada rumah panjangnya. 

“Saya harap rumah panjang saya dapat dibaik pulih iaitu menukar atap rumah panjang yang telah rosak. 

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak di atas peruntukkan ini bagi membolehkan rumah panjang dibaik pulih. 

“Saya juga berharap penduduk rumah panjang saya dapat melaksanakan projek ini dengan cepat apabila bahan binaan ini sampai nanti,” katanya. 

Nada yang sama turut diberitahu Tr Was Janting wakil Rumah Panjang Was anak Janting yang mewakili rumah panjang kerana telah meluluskan peruntukan bantuan PPRMS ke atas rumah panjang mereka. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk John Sikie kerana telah meluluskan bantuan PPRMS bagi 43 pintu rumah panjang saya. 

“Selama ini, beliau telah banyak bertungkus lumus membantu rakyat di DUN Kakus ini,” katanya. 

Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong. -EDISI UKAS

Share
0

add comment