Program Vaksinasi Bergerak Mudahkan Masyarakat Luar Bandar Terima Suntikan

RABU, 28 JULAI 2021

KABONG: Penganjuran program vaksinasi bergerak atau ‘mobile outreach’ penting bagi memudahkan orang ramai khususnya mereka yang tinggal di luar bandar menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir, pendekatan tersebut juga lebih mudah mensasarkan golongan yang diutamakan berbanding menunggu temujanji menerusi aplikasi Mysejahtera.

Beliau berkata demikian semasa meninjau Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Mobile Outreach yang diadakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Balai Polis Kabong pada Rabu.

Dalam tinjauan itu, beliau mengambil peluang merakamkan penghargaan kepada pasukan vaksinasi bergerak itu atas komitmen yang tinggi dalam memberikan suntikan vaksin kepada penduduk di situ.

Turut hadir isteri Mohd Chee, wakil Pegawai Daerah Kabong Ahmad Sabree Salleh, Ketua PPV Dewan Rentap Betong , Dr Mohd Nor Azam Brahim, Urusetia CITF Daerah Betong Evie Michelle Lamun dan Penyelaras Dewan Rentap Betong Christina Peter. – EDISI UKAS