Sarawak Hantar 105 Tan Bekalan Gas Oksigen Ke Kalimantan Barat, Indonesia

RABU, 28 JULAI 2021

TEBEDU: Kerajaan Sarawak menghantar sebanyak 105 tan bekalan gas oksigen ke provinsi Kalimantan Barat bagi kegunaan pesakit COVID-19 di hospital di wilayah Indonesia itu.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing berkata, ia adalah susulan lonjakan kes pandemik COVID-19 yang mendadak di Kalimantan Barat baru-baru ini sekaligus telah menyebabkan pihak Indonesia kekurangan bekalan oksigen untuk pesakit Covid-19 yang berada di wad pesakit Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Atas dasar perikemanusiaan dan hubungan diplomatik serta kerjasama yang erat, kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk mengizinkan dan membantu menyalurkan serta mengeksport bekalan darurat oksigen ini kepada Kalimantan Barat, Indonesia,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis simbolik penyerahan tangki gas oksigen daripada kerajaan Sarawak kepada kerajaan Indonesia di pekarangan Pusat Kuarantin Kastam Imigresen Tebedu (ICQS) pada Rabu.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Datuk Amar Michael Manyin Jawong; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Ik Pahon Joyik, Komando Daerah Pangdam XII/Tanjungpura, Mayor Jenderal TNI Muhammad Nur Rahmad dan dif-dif kenamaan yang lain.

Sementara itu, Tan Sri James Masing yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sempadan Sarawak ketika ditemui memaklumkan, semua transaksi itu dijalankan secara komersial di mana kedua-dua kerajaan hanya pemudah dalam proses ini.

Dalam pada itu, Komando Daerah Pangdam XII/Tanjungpura Mayor Jenderal TNI Muhammad Nur Rahmad sebagai wakil kerajaan Indonesia menyatakan rasa syukur atas bantuan tersebut dalam membantu situasi yang dialami oleh mereka.

“Kami bersyukur kerajaan Sarawak membantu untuk menghantar bekalan oksigen ini bersesuaian dengan keperluan yang diminta,”ujar beliau.-EDISI UKAS