Kerajaan Sarawak Mengalu-Alukan Sumbangan NGO Bantu Golongan Memerlukan

KHAMIS, 29 JULAI 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri ini dalam membantu golongan yang memerlukan.

Bercakap semasa menerima kunjungan hormat daripada Sarawak Blessed Church di pejabatnya pada Khamis, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah memberitahu, kerajaan Sarawak menghargai sumbangan NGO yang membantu kerajaan membekalkan bantuan kepada mereka yang terjejas susulan wabak COVID-19.

Tambah beliau, selain daripada Sarawak Blessed Church, terdapat banyak lagi NGO lain seperti Hope Place di bawah Persatuan Kebajikan Harapan Kuching, Kuching Food Aid serta Majlis Perbandaran Kota Samarahan Municipal Council (MPKS) yang bekerjasama dengan 10 pasaraya di Kota Samarahan bagi memberi sumbangan bekalan makanan.

“Setakat ini, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM20.4 juta bagi menyalurkan bantuan di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan sebanyak 1,475 buah kampung dan rumah panjang,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Sarawak Blessed Church yang mana sukarelawannya terdiri daripada belia muda yang mahu melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan dan ini merupakan gambaran yang baik untuk masa depan Sarawak.

Untuk rekod, Sarawak Blessed Church yang diterajui Pengerusi, Johnny Chi, mempunyai seramai 3,000 ahli yang aktif menjalankan aktiviti kebajikan menerusi ‘Project Love and Mercy’.

NGO yang beroperasi sejak tahun 2020 itu telah memberi bantuan bekalan keperluan asas di sekitar kawasan Kuching, Matang, Padawan dan Bau tanpa mengira agama dan bangsa.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga sekarang, mereka telah menyalurkan sumbangan  kepada seramai 1,500 keluarga yang terjejas akibat pandemik COVID-19. -EDISI UKAS