RABU, 28 JULAI 2021
KUCHING : Tragedi kebakaran melibatkan tiga buah rumah musnah dijilat api di Kampung Sinjan dan Kampung Tanjong sekitar jam 6.15 petang Selasa mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang dan ADUN Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman.
Kedua-dua ADUN tersebut turun padang melihat sendiri keadaan terkini mangsa-mangsa kebakaran dan mengambil maklum segala keperluan segera yang diperlukan.
Sumbangan turut dihulurkan bagi mengurangkan tekanan dan bebanan mereka buat masa ini.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.00 malam dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.55 malam, disamping tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Kedua-dua ADUN turut berterima kasih kepada anggota Bomba dan Penyelamat yang telah berjaya memadamkan api daripada terus merebak termasuk pihak Polis DiRaja Malaysia dan penduduk kampung yang berusaha membantu mengawal keadaan di kawasan kejadian. -EDISI UKAS