Operasi PPV Bas Bergerak Di SJK (C) Thai Kwang Sasar 200 Orang Terima Suntikan Vaksin Dos Pertama

JUMAAT, 30 JULAI 2021

DUDONG: Operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bas Bergerak telah bermula di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK) Thai Kwang bagi pemberian suntikan vaksin dos pertama menerusi kaedah ‘walk-in’ pada Khamis.

Program vaksinasi tersebut yang juga dikenali sebagai ‘mopping up’ mensasarkan seramai 200 orang penerima vaksin melibatkan penduduk setempat di sekitar Jalan Sukun, pekerja tempatan dan asing daripada industri kilang berhampiran.

Dalam pada itu, Senator Robert Lau Hui Hew memberitahu, operasi PPV bas bergerak ini dijalankan selama dua hari dan penerima yang hadir diperlukan untuk membawa kad pengenalan bagi proses pendaftaran.

“Bagi yang lahir pada tahun 2003 pada akhir tahun boleh datang mendapatkan vaksin dan perlu ditemani ibu bapa atau penjaga.

“Manakala mereka yang belum mendapatkan suntikan vaksin disarankan untuk hadir juga,” katanya. –EDISI UKAS