Program Peladang Prihatin Sarawak Bantu Warga Tani Di Simunjan

JUMAAT, 30 JULAI 2021

SIMUNJAN: Kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian Sarawak mengambil langkah proaktif terutamanya semasa penularan COVID-19 apabila membantu petani membeli hasil tani mereka menerusi Program Peladang Prihatin Sarawak.

Ini disebabkan sepanjang wabak COVID-19, hasil tani mereka tidak dapat dipasarkan dan dengan inisiatif ini membolehkan petani memperoleh pendapatan.

Manakala di Simunjan, Program Peladang Prihatin Sarawak anjuran Pejabat Pertanian Daerah Simunjan dengan kerjasama Jabatan Pertanian Bahagian Samarahan dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Simunjan telah membeli hasil tani berupa buah-buahan untuk diserahkan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Mesra Simunjan.

Penyerahan buah-buahan kepada petugas barisan hadapan ini sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam memberikan suntikan vaksin COVID-19 dan memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan dengan jayanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris telah menyerahkan buah-buahan kepada wakil petugas barisan hadapan PPV Dewan Mesra Simunjan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Awla juga berkesempatan meninjau proses pemberian vaksin di PPV berkenaan dan berpuas hati dengan kelancaran program tersebut yang sangat teratur dan terkawal.

Hadir sama Pegawai Daerah Simunjan, Abdul Khalid Manap, Pegawai Pertanian Bahagian Samarahan, Hamzah Abu Bakar serta pegawai kerajaan yang lain. -EDISI UKAS