Program Ziarah UKAS Bantu Ringankan Penduduk Terjejas Akibat Penularan COVID-19

JUMAAT, 30 JULAI 2021

MULU: Selain bantuan makanan yang disalurkan menerusi pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0, Kerajaan Sarawak menerusi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) turut sama menyumbang bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas akibat pandemik COVID-19. 

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Dato Gerawat Gala berkata, bantuan makanan ini dapat membantu meringankan beban penduduk yang terjejas akibat penularan COVID-19. 

“Pendemik COVID-19 telah menyebabkan punca pendapatan penduduk terjejas khususnya bagi yang bekerja dengan swasta. 

“Program seperti ini amat membantu penduduk yang terjejas memandangkan kebanyakan punca pendapatan penduduk bergantung kepada hasil sungai dan bekerja di Pekan Marudi untuk menyara keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap selepas menyerahkan bantuan makanan dalam Program Ziarah UKAS di Kampung Seberang Lubok Nibong pada Khamis. 

Seramai 40 Ketua Isi Rumah (KIR) dari Kampung Seberang Lubok Nibong menerima bantuan makanan yang disampaikan sendiri Dato Gerawat Gala. 

Hadir sama Pengerusi Majlis Daerah Marudi Edward Mendai, Pemanca Randie, Ketua Masyarakat Iban Kawasan Marudi Pemanca Randie Bundan, Ketua Masyarakat Iban Kawasan Puyut Nibong Penghulu Hillary Tawan dan Ketua Kaum Kampung Seberang Lubok Nibong Ketua Kaum Madeli Mos. -EDISI UKAS