ADUN Balingian Luang Masa Rasmikan Program Ziarah UKAS

SABTU, 31 JULAI 2021

BALINGIAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi meluangkan masa merasmikan Program Ziarah UKAS yang diadakan di Masjid Darul Taqwa, Balingian pada Khamis.

Dalam program tersebut, Abdul Yakub telah menyampaikan bakul makanan, pembersih tangan dan pelitup muka kepada beberapa masjid dan surau di sekitar Balingian untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Menurut Pengerusi Masjid Darul Taqwa, Balingian, Jamil Paiee, pihaknya amat menghargai sumbangan dari UKAS dalam membantu meringankan beban masyarakat yang memerlukan di Balingian.

Katanya, dalam situasi sukar ketika ini akibat pandemik Covid-19, bantuan bakul makanan seperti itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga yang amat terjejas.

Pengerusi Masjid Nur Iman, Kuala Balingian, KK Merjuki Sahari turut senada dengan merakamkan terima kasih kepada UKAS atas bantuan yang disalurkan itu.

Senarai masjid dan surau yang menerima sumbangan tersebut adalah Masjid Darul Taqwa Balingian, Masjid Nur Iman Kuala Balingian, Masjid Tunku Haji Bujang Kampung Masjid Balingian, Surau Nur Islam Kampung Pulat Balingian dan Surau Nur Iman Kampung Lintang/Baru Balingian. – EDISI UKAS