Ambil Tindakan Segera, Kawal Sepenuhnya Wabak COVID-19 Daripada Merebak

SABTU, 31 JULAI 2021

KOTA SAMARAHAN: Tindakan segera perlu diambil dalam memastikan rantaian wabak COVID-19 dapat dikawal dengan sepenuhnya daripada merebak ke kawasan lain.

Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang berkata, hal ini termasuk pemantauan secara rapat dan tindakan yang lebih tegas yang perlu diambil oleh setiap Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta pengerusi-pengerusi pertubuhan komuniti untuk bergerak secara lebih proaktif di kawasan masing-masing.

Beliau turut mengingatkan KMKK supaya tidak memandang ringan dengan situasi masa kini memandangkan varian merbahaya seperti Delta sedang merebak di sebahagian kawasan di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyumbangkan beberapa set kanopi dan juga peralatan-peralatan lain kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Samarahan serta pengurusan pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 di Kolej Rafflesia UNIMAS yang turut menempatkan penduduk dari Kampung Tanjung Tuang yang telah disahkan positif Covid-19.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar masyarakat mematuhi nasihat dan juga saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta JPBN Sarawak yang telah menetapkan garis panduan dan juga peraturan demi kebaikan semua.

Beliau turut menyatakan tidak mahu situasi bertambah buruk gara-gara sikap sambil lewa dan pentingkan diri sehingga mengabaikan ketetapan serta melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan mengakibatkan berlaku kembali penularan wabak Covid-19 secara lebih aktif.-EDISI UKAS