SABTU, 31 JULAI 2021
KANOWIT: Kerjasama kerajaan Sarawak dan pihak tentera telah memastikan negeri ini antara yang terpantas dalam program imunisasinya.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, menerusi kerjasama itu, pihak tentera telah mewujudkan program vaksinasi di kawasan pedalaman walaupun jumlah penerimanya adalah sedikit seperti di Long Singut.
“Kita berkerjasama dengan pihak angkatan tentera untuk memberikan vaksin ke kawasan pedalaman seperti Baram dan juga di utara iaitu Limbang Lawas.
“Hingga kini lebih 7,000 telah menerima suntikan vaksin COVID-19.
“Walaupun jumlah ini sedikit tetapi bukan sesuatu yang mudah dengan pihak tentera telah menggunakan pelbagai pendekatan termasuk menerusi laluan darat, sungai dan juga udara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa program lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 ‘Mobile Outreach’ Nanga Jagau di Kanowit pada Sabtu.
Terdahulu beliau menghadiri taklimat mengenai Skim Penempatan Semula (SPS) dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Alexander Vincent, taklimat mengenai situasi COVID-19 dan program vaksinasi di Daerah Kanowit dan taklimat mengenai PPV ‘mobile outreach’ Nanga Jagau.
Beliau turut meninjau PPV Mobile Outreach Nanga Jagau di Dewan Temenggung Masam.
Dalam pada itu, Ketua Menteri menambah program vaksinasi di negeri ini telah menunjukkan kejayaan dengan trend penurunan kes kritikal.
Beliau yakin, sasaran 80 imuniti kelompok dapat dicapai pada penghujung Ogos ini.
“Sarawak kini telah mencapai 65 peratus untuk suntikan vaksin COVID-19 dan kita yakin sasaran imuniti kelompok dapat dicapai dengan trend penurunan kes seperti kes kematian dan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),” tambahnya.
Jelasnya juga, sehingga kini, program vaksinasi telah dijalankan di hampir semua penempatan di pedalaman. -EDISI UKAS