Pengisytiharan Proklamasi Darurat (Sarawak) Disambut Baik – Tan Sri James Masing

SABTU,31 JULAI 2021

KUCHING: Pengisytiharan Proklamasi Darurat (Sarawak) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di seluruh negeri ini bermula bermula 2 Ogos 2021 hingga 2 Februari 2022 disambut baik oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing.

Menurut beliau, Proklamasi Darurat Oleh Yang Di Pertuan Agong adalah berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam mengawal penularan wabak COVID-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh itu menambah, sekiranya usaha melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19 dalam komuniti dapat dikurangkan, maka kerajaan Sarawak boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menarik semula Prolakmasi Darurat agar Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 dapat diadakan.

“Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg perlu mendapat mandat semula bagi mentadbir negeri ini bagi tempoh lima tahun yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menegaskan, pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat perlu ditekankan sekiranya PRN ke-12 berlangsung kelak tanpa menjejaskan kesihatan rakyat Sarawak.

Tegasnya, kejadian yang berlaku semasa PRN Sabah sebelum ini wajar dijadikan pengajaran dan iktibar supaya wabak COVID-19 dapat diatasi.

“Negara-negara lain seperti Singapura, New Zealand, Korea Selatan dan Amerika Syarikat juga telah mengadakan pilihan raya umum di dalam pandemik COVID-19 tanpa kesan buruk kepada penduduk mereka,” jelasnya. -EDISI UKAS