153 Petugas Di PPV UPMKB Terima Sumbangan Hasil Tani

AHAD, 1 OGOS 2021

BINTULU: Terima kasih kepada seluruh anggota barisan hadapan yang terlibat di setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Bintulu.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman)  yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Tallib Zulpilip berkata, penglibatan mereka yang berhadapan dengan risiko COVID-19 sangat dihargai.

“Mereka ini telah berusaha menjayakan visi bagi mendapatkan imuniti kelompok dalam mengekang penularan wabak COVID-19 dalam masyarakat. 

“Masyarakat yang belum mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 digesa berbuat demikian untuk pastikan keselamatan diri dan orang lain,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas hadir di Majlis Peladang Prihatin anjuran Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu dan Majlis Peladang Bahagian Bintulu di PPV Dewan Seri Kenyalang, UPMKB Bintulu pada Jumaat. 

Seramai 153 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bahagian Bintulu, Pusat Khidmat, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), MyVac dan pelbagai agensi kerajaan menerima sumbangan berupa buah-buahan dan sayur-sayuran serta hasil tani lain. 

Hadir sama Pegawai Daerah Bintulu Mohammad Dino Amid, Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu Anggang Jimbun, Pegawai Perubatan Jabatan Kesihatan Bintulu Dr Nurul Nurasikin Othman, Ketua Sukarelawan Agensi Kerajaan dan Swasta Azizi Nawawi dan Penyelaras PPV Dewan Sri Kenyalang UPMKB Ron Rogers. -EDISI UKAS